fbpx

Lelaki kumpul pakaian terpakai untuk Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anuar (kanan) bersama sebahagian penduduk Orang Asli beragama Islam ketika menyumbangkan pakaian terpakai di Kampung Matau, Sungai Rengai, Jerantut hari ini.

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT – Prihatin dengan kesusahan kira-kira 200 masyarakat Orang Asli di Kampung Matau, Sungai Rengai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 telah mendorong seorang individu untuk tampil menyumbangkan pakaian terpakai.

Anuar Mustaqim, 55, berkata, berita kesusahan masyarakat Orang Asli yang disiarkan Kosmo! baru-baru ini menyentuh perasaannya yang berasa perlu membantu mereka yang amat memerlukan.

“Pakaian terpakai ini saya dapat daripada penduduk kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan bandar Jerantut untuk disumbangkan kepada Orang Asli di sini bagi meringankan beban belanja keperluan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

“Semoga sumbangan ini dapat menceriakan penduduk Orang Asli di kampung ini, lebih-lebih lagi kanak-kanak agar dapat berpakaian lebih sempurna menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Matau, di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan kesusahan hidup kira-kira 30 keluarga Orang Asli beragama Islam di Kampung Matau yang memerlukan bantuan termasuklah bagi menyediakan juadah berbuka puasa dan persiapan hari raya.

Wakil penduduk, Nerta Ibrahim berkata, sejak mula berpuasa tahun ini belum ada mana-mana pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, penduduk Orang Asli, Jefri Panjang, 30, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Anuar yang sudi datang menyumbangkan pakaian terpakai untuk keluarga di situ sebagai persiapan berhari raya.

Katanya, sumbangan berkenaan amat bermakna sekali memandangkan mereka tidak mampu membeli pakaian baharu akibat kekurangan sumber pendapatan.

“Sejak penularan pandemik Covid-19 tahun lalu, pekerjaan kami tidak menentu kerana bimbang keselamatan diri dan pendapatan yang ada hanya untuk membeli keperluan dapur secara ala kadar untuk berbuka puasa termasuk susu anak.

“Melalui sumbangan ini dapatlah kami memakai pakaian baharu untuk menyambut hari raya bersama keluarga,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI