SAN DIEGO, CALIFORNIA – Seorang lelaki mendakwa kehidupannya bertukar menjadi malang setelah bermain dengan sebuah patung puaka yang dijumpai di sebuah hutan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Dalam satu hantaran di TikTok, pengguna bernama @timmysayshi memuat naik videonya yang bermain dengan patung berwajah kanak-kanak lelaki dan berswafoto dengannya di sebuah kawasan hutan.
“Kami baru sahaja menjumpai patung ini di tengah-tengah hutan,” ujar lelaki berkenaan sambil merakam wajah patung tersebut dalam jarak dekat.
Patung berwajah menyeramkan serta mempunyai senyuman menyeramkan itu kelihatan seperti watak patung dari filem Hollywood, Chucky.
“Saya namakan dia Timmy,” kata @timmysayshi bergurau.
Lelaki itu menyesali gurauan tersebut apabila mula dihantui satu persatu kejadian malang yang menimpanya seminggu selepas penemuan patung tersebut.
“Saya tidak terfikir bahawa patung itu berpuaka ketika kami bergurau dengannya sehinggalah seminggu kemudian apabila kereta saya dilanggar, kamera telefon bimbit rosak dan anjing saya menyalak tanpa sebab,” tambahnya.
Video yang dimuat naik itu ditonton lebih lima juta kali dan dalam ruangan komen, rata-rata pengguna berasa seram melihat patung tersebut.
“Anda tidak pernah menonton filem seram ke? Kenapa bergurau dengan patung tinggalan seperti itu” tulis seorang pengguna.
“Pulangkan patung itu dan semburkan air suci di seluruh badannya,” tulis pengguna yang lain. – Agensi