JOHOR BAHRU – Seramai 15,000 penjawat awam Johor akan menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, bantuan itu akan disalurkan pada akhir bulan ini.
“Kita akan beri bantuan hari raya, bukan bonus, macam mana hendak beri bonus sedangkan bajet kita pun defisit.
“Jadi bantuan raya kerajaan beri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000. Pembayaran akan dibuat hujung bulan ini melibatkan seramai 15,000 penjawat awam Johor,” ujarnya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Dewan Muafakat Johor, Adda Heights, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai pertanyaan sama ada kerajaan negeri merancang pemberian bonus kepada penjawat awam Johor ekoran pengumuman bantuan raya oleh kerajaan pusat pada 22 April lalu.
Pada 29 November tahun lalu, Kerajaan Johor membentangkan Belanjawan 2021 dengan defisit sebanyak RM248.14 juta selepas merekodkan lebihan belanjawan selama 10 tahun berturut-turut, sebelum ini.
Hasni dilaporkan berkata, unjuran hasil negeri pada tahun depan adalah sebanyak RM1,609.07 juta manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1,857.21 juta.
“Senario ini menunjukkan Belanjawan Johor 2021 adalah belanjawan defisit iaitu sebanyak RM248.14 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 lalu.-K! ONLINE