MANCHESTER – Pengurus Manchester United memberi amaran kepada para pemain supaya berwaspada dengan kelibat beberapa pemain AS Roma termasuk kapten mereka, Edin Dzeko yang dilihat memiliki kemampuan untuk meranapkan impian mereka.
United dijadual melayan kunjungan Roma pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa di Old Trafford awal pagi esok.
Solskjaer enggan episod duka berulang sekali lagi selepas beliau terkandas sebanyak empat kali pada saingan separuh akhir bersama United iaitu dua kali ketika aksi Piala Liga Inggeris, sekali di Piala FA dan satu lagi pada saingan Liga Europa sebelum ini.
“Roma berjaya mempamerkan aksi bertahan yang sangat mantap kerana mereka adalah pasukan dari Itali, maka tidak hairanlah. Mereka adalah pasukan yang sangat berpengalaman dan kami semua mengenali Dzeko kerana dia memiliki sentuhan ‘pembunuh’ di dalam kotak penalti.
“Kami positif dengan aksi kali ini. Kami sudah berada di separuh akhir dan bertemu pasukan seperti Roma tidak boleh dielakkan. Mereka adalah kelab yang penuh dengan sejarah dan tradisi tetapi kami memiliki rekod yang baik bertemu pasukan dari Itali.
“Kami berharap mampu untuk ke final. Jika berjaya mara dan mengakhirinya dengan menjulang trofi, ia akan menjadi musim yang baik buat kami,” katanya.
Dalam pada itu, pemain tengah, Nemanja Matic mengakui bahawa layak ke perlawanan akhir adalah sangat penting buat United dan mereka tidak ada pilihan kecuali mengekang Dzeko dan rakan sepasukannya.
“Saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk kami ke final dan memenanginya tetapi ia bukan tugas mudah.
“Kami menghormati Roma dan kami tahu mereka adalah sebuah pasukan yang baik dan mempunyai jurulatih yang berkaliber. Ia akan menjadi perlawanan yang sengit tetapi kami memiliki kualiti untuk memenangi perlawanan ini,” ujarnya. – AGENSI