MERSING – Sebuah bot pukat tunda zon B ditahan selepas tidak mengikut syarat lesen beroperasi melebih masa dibenarkan di
Pantai Tanjung Petai, Tenggaroh di sini kelmarin.
Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, bot berkenaan ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di 5.2 batu nautika daripada Pantai Tanjung Petai, pada pukul 10.51 malam.
Katanya, tangkapan itu dilakukan ketika rondaan rutin pemantauan vesel pantai timur yang dijalankan di perairan Johor Timur oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Johor.
“Susulan itu kita telah menahan sebuah vesel penangkapan ikan zon B yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) kerana tidak mengikut syarat sah lesen.
“Tempoh operasi menangkap ikan bagi vesel B pukat tunda adalah pada pukul 6 pagi sehingga 7 petang sahaja untuk jarak 5 hingga 12 batu nautika.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati vesel tersebut mempunyai empat orang kru termasuk tekong berusia 54 tahun manakala awak-awak berusia anggaran 45 hingga 66 tahun serta terdapat hasil tangkapan seperti ikan selar kuning,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraishah berkata, perbuatan melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel itu adalah menjadi kesalahan dan vesel serta peralatan menangkap ikan telah disita manakala kes disiasat di bawah seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
-K! ONLINE