DIA berpegang teguh dengan kata-kata yang pernah dibutirkan dari bibir rapper tersohor Hollywood berbunyi, my power is my ability to not be influenced (pengaruh saya ialah kemampuan saya untuk tidak dipengaruhi).
Yung Raja atau nama lengkapnya, Rajid Ahamed, 26, merupakan pemuzik rap kelahiran Singapura yang terkenal dengan pendekatan bernuansa ‘Tanglish’ iaitu hibrid antara penggunaan bahasa Tamil dan Inggeris dalam diskografinya sejak empat tahun.
Berbalik kepada kenyataan pada perenggan sulung, ada yang berpendapat, disebabkan asimilasi atau pertembungan dua budaya tersebut dalam muziknya, Yun Raja sukar diterima masuk pada skala atau pasaran besar sedangkan mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Diwawancara HibGlam menerusi satu panggilan video Zoom baru-baru ini, Yung Raja yang sebelum ini pernah meluncurkan beberapa single hit seperti Mustafa, Mad Blessings dan The Dance Song bercakap tentang inspirasi dan aspirasi muzik terbaharunya berjudul Mami.
Graduan Komunikasi Media Ngee Ann Polytechnic itu turut menyentuh tentang hutang budi dengan rapper tersohor Malaysia, Joe Flizzow, hasrat kolaborasi dengan Yuna dan kesetiaan jiwa terhadap identiti muziknya.
HIBGLAM: Tahniah atas kelahiran single terbaharu anda berjudul Mami. Boleh kongsi sedikit tentang inspirasi lagu berkenaan?
YUNG RAJA: Lagu Mami ditulis sekitar 2018, lebih kurang sama waktu dengan single debut saya, Mustafa. Kalau anda sudah dengar lagu ini dan perasan yang Mami mempunyai ‘vibe’ sama dengan Mustafa.
Disebabkan itu, saya dan pasukan tidak mahu melancarkan kedua-duanya secara serentak. Saya tulis Mami dengan harapan untuk memberi keceriaan kepada penonton. Lagu ini satu karya yang boleh disifatkan sebagai ‘club banger’.
Biarpun kebanyakan kelab malam sekarang tutup dan tidak beroperasi, saya harap lagu ini dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu disebabkan wabak Covid-19.
Lagu Mami ini sebenarnya tentang apa dan apa perbezaan berbanding single terdahulu anda?
Mami tentang perempuan-perempuan cantik. Sebenarnya, perkara ‘mami’ itu mempunyai terjemahan yang berbeza mengikut negara. Kalau di Sepanyol atau Amerika Syarikat, maksudnya lain. Kalau ikut bahasa Tamil, maksud berbeza.
Lagu yang ringkas, namun saya nak buktikan bahawa walaupun maksudnya berbeza-beza, kita boleh berseronok dengan memuzikkannya.
Menjawab soalan tentang perbezaan Mami dengan tiga single saya sebelum ini, anda sendiri tahu bahawa semua lagu saya ada satu tujuan iaitu menceriakan hari-hari pendengar.
Itu yang saya selalu buat sejak hari pertama jadi penyanyi. Saya dan pasukan di Alamo Records bekerja keras untuk membuktikan kepada global terutama Hollywood apa yang kita buat di Singapura.
Ketika Covid-19 yang masih berlanjutan, bagaimana dengan perkembangan kerjaya anda? Kalau bukan sebab virus ini, barangkali anda sudah ‘terbang’ jauh ke negara Uncle Sam, bukan?
Mungkin ada yang berpendapat, kalau bukan sebab Covid-19, saya sudah berada di mana-mana mempromosikan muzik, namun dari satu sudut lain, banyak benda saya boleh lakukan disebabkan virus ini. Saya faham ramai terkesan dan kehidupan orang ramai terjejas disebabkan Covid-19.
Sekurang-kurangnya, dengan segala limitasi, saya masih boleh buat apa yang saya suka iaitu muzik.
My boat is still shipping. Kendatipun dengan apa yang berlaku, saya bersyukur masih menulis muzik dan buat apa yang disukai. Orang mungkin fikir Covid-19 mengekang banyak hal, namun tetap ada hikmahnya buat saya.
Saya gambarkan anda sebagai ‘prince of assimilation’. Bagaimana anda setia dengan apa yang anda lakukan (campur adukkan bahasa Tamil dan Inggeris) dan pada masa sama, memastikan muzik anda terus mendapat sambutan?
Saya pegang kata-kata Kanye West dalam satu temu bual yang memberi maksud artis boleh mempengaruhi orang, namun lebih besar andai dia boleh tidak terganggu dengan pengaruh orang lain.
Lebih kurang begitu. Saya sangat cakna dengan perkara-perkara yang menjadi saya Yung Raja. Saya yakin dengan DNA saya sebagai seorang artis.
Kalau ada momen saya buat lagu Tamil penuh atau lagu Inggeris penuh, saya hilang sentuhan peribadi atau nilai estetika saya sebagai seorang anak seni.
Saya kekal setia dengan tak fikir apa yang orang mahu saya buat. Baik beri tumpuan pada apa yang saya ingin buat. Unapologetically me, Yung Raja.
Siapa antara artis yang anda ingin berkolaborasi pada masa akan datang?
Joe Flizzow, SonaOne dan AR Rahman! Saya tak sabar andai suatu hari nanti, waktu untuk berkolaborasi dengan mereka sampai dan jadi kenyataan.
Kumpulan BTS menjuarai carta lagu Billboard Hot 100 hanya selepas muncul dengan single berbahasa Inggeris penuh, adakah anda bersedia untuk hal sebegitu?
BTS tetap BTS. Mereka kumpulan muzik paling digeruni bukan sahaja di Korea Selatan bahkan satu dunia.
Susah untuk replicate kejayaan yang dicapai BTS, namun kalau anda tanya adakah saya bersedia untuk menyanyikan lagu Inggeris penuh, jawapan saya begini; saya tidak kisah berubah sedikit sebanyak, namun tidak sampai hilang identiti sebagai seorang artis dan DNA saya sebagai seorang rapper.
Kalau ada pihak datang kepada saya minta saya nyanyi lagu Inggeris penuh dan tak boleh rap dalam bahasa Tamil, saya takkan buat!
Saya takkan berkompromi. Apa yang saya buat selama ini yang bagi makanan kepada saya atas meja makan.
Bagaimana anda ingin berterima kasih kepada Joe Flizzow yang merupakan antara individu terawal menghidu bakat rap anda?
Betul, Joe ialah individu pertama memberikan saya peluang menyertai 16 Baris, iaitu ketika tiada siapa di Malaysia yang mengenali saya, tetapi Joe memberikan platform kepada pemuda seperti saya mengetengahkan bakat. Peluang inilah membuatkan saya berterima kasih kepada Joe selamanya.
Dia juga individu mengajar saya untuk berusaha kerana dia sudah berusaha lebih 20 tahun, tetapi tetap relevan sebagai Joe Flizzow.
Artis lain mungkin menghilang selepas beberapa tahun, tetapi tidak Joe. Dia banyak mengajar bagaimana mahu terus berjuang.
Saya bertemu dengan Joe pada 2018 dan tahun itu jugalah mengubah dan mencorakkan kerjaya saya. Karier ini bukan sahaja mengenai menghasilkan lagu, tetapi apa yang kita boleh buat dengan lagu.
Nasihat itulah membuatkan saya di sini. Jadi, walaupun saya tidak tahu bila, saya tetap menanti peluang berkolaborasi dengan Joe.
Anda dan Yuna saling mengikuti akaun Instagram masing-masing, jadi bolehlah kita jangkakan kolaborasi antara anda dan Yuna tidak lama lagi?
Yuna seorang legenda. Dia seorang ikon yang sudah buat banyak perkara hebat dalam kerjayanya. Saya ingin belajar banyak benda daripada. Saya masih baru dalam industri, baru empat tahun dengan empat buah single. Sebelum fikir ingin berkolaborasi dengannya, saya kena kerja keras, namun dan pada masa, saya tak cakap yang saya tak ingin berkolaborasi dengannya atau ada perancangan ingin berkolaborasi dengannya.
Saya tak sabar andai peluang itu datang, namun pada masa sekarang, saya kena keras-keras.