KLANG – Kehidupan merana 22 pekerja restoran warga asing yang dieksploitasi dengan bayaran gaji serendah RM10 sehari untuk 12 jam waktu bekerja dan dikurung majikan, berakhir selepas diselamatkan polis dalam serbuan di Taman Chi Liung di sini, awal pagi tadi.
Mereka yang diselamatkan terdiri daripada 11 wanita Indonesia dan 11 lelaki India berusia 23 hingga 44 tahun dalam operasi pukul 12.45 pagi oleh sepasukan Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan Op Pintas Bersepadu itu hasil maklumat dan risikan aktiviti pengeksploitasian buruh di sebuah restoran dan dua asrama pekerja terbabit.
Wanita warga asing turut menjadi mangsa.
Katanya, siasatan mendapati warga asing itu hanya dibayar RM10 sehari oleh majikan mereka berbanding RM1,500 yang dijanjikan sebelum ini.
“Mereka bekerja 12 jam tanpa langsung cuti dan makanan turut dicatu majikannya. Sekiranya mengambil makanan berlauk akan dipotong lagi gaji harian mereka itu.
“Mereka juga dikurung selepas waktu bekerja dan diugut pukul sekiranya cuba melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, setiap warga asing itu juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit walaupun selepas waktu bekerja dengan kebenaran harus diperolehi daripada majikan sekiranya ingin berbuat demikian.
Beliau memberitahu, susulan serbuan itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki termasuk majikan warga asing itu dengan kesemua berusia 29 hingga 60 tahun.
“Turut dirampas adalah 40 pasport, dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis BMW dan wang tunai dipercayai hasil perniagaan berjumlah RM3,858.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk berapa lama kesemua warga asing itu telah dieksploitasi majikannya,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. -K!ONLINE