BEIJING – China melancarkan modul pertama stesen angkasa lepasnya hari ini sekali gus pencapaian bersejarah Beijing yang berhasrat menghantar manusia secara tetap ke angkasa lepas.
Modul teras Tianhe yang menyediakan peralatan sokongan hayat dan ruang tempat tinggal untuk angkasawan, dilancarkan menggunakan roket Long-March 5B dari Wenchang di wilayah Hainan, selatan China
Siaran langsung stesen televisyen pemerintah, CCTV menunjukkan petugas-petugas program angkasa lepas bersorak ketika roket itu meluncur ke atmosfera dari lokasi pelancaran.
“Istana di angkasa lepas bukan lagi fantasi romantis empayar dahulu kala,” kata pengacara CCTV.
Stesen Angkasa Lepas Tiangong yang namanya bermaksud ‘Istana Syurga’ dijangka beroperasi pada tahun ini selepas kira-kira 11 misi dilakukan untuk menghantar lebih banyak modul dan memasangnya di orbit.
Stesen yang siap dibina itu akan menyerupai stesen Mir milik bekas Kesatuan Soviet yang mengorbit Bumi dari tahun 1980-an hingga 2001.
Stesen Angkasa Lepas Tiangong akan memiliki berat sekitar 90 tan dan satu perempat daripada saiz Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Stesen angkasa lepas China itu dijangka kekal di orbit rendah pada jarak antara 400 kilometer hingga 450 kilometer di atas Bumi dan memiliki jangka hayat sekitar 15 tahun. – AFP