KUALA LUMPUR – Bersempena cuti umum Nuzul al-Quran hari ini, warga kota mengambil peluang untuk mencari barang persiapan hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi di beberapa kawasan tumpuan di ibu negara.
Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai berpusu-pusu membeli barangan khususnya baju serta persiapan raya yang lain di beberapa kawasan tumpuan antaranya di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan pusat membeli belah Sogo.
Seorang penjawat awam, Adi Osman, 39, berkata, persiapan raya pada tahun ini bersama keluarga diraikan secara sederhana walaupun tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kedah.
“Disebabkan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat dan juga larangan rentas negeri maka saya dan keluarga akan beraya di sini (ibu negara).
“Persiapan raya tahun ini ala kadar sahaja bersama keluarga dan mertua saya di Kepong. Membeli belah di Jalan Tar dan Masjid India ini sudah menjadi kebiasaan buat keluarga saya setiap kali menjelang perayaan,” jelasnya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang jurusolek, Nazira Nasiruddin, 23, berkata, persiapan raya pada tahun ini sangat sederhana dan agak terkilan kerana tidak dapat beraya bersama keluarga di Perak.
“Disebabkan tidak dapat pulang ke kampung, ibu saya tekad menghantar baju raya yang ditempah di kampung melalui pos untuk saya guna di sini pada Aidilfitri nanti.
“Suasana di Jalan TAR masih terkawal. Orang ramai masih mematuhi SOP dan memakai pelitup muka walaupun sedang sibuk membeli-belah di sini,” jelasnya.
Sementara itu, ahli perniagaan, Abdul Aziz Abu Bakar, 29, pula berkata, dia mengambil peluang sempena cuti umum ini untuk melakukan persiapan raya sambil meluangkan masa bersama keluarganya.
“Sempena cuti hari ini, saya ambil kesempatan untuk membeli pakaian baju melayu dan baju kurung anak-anak.
“Walaupun rentas negeri tidak dibenarkan tetapi raya Aidilfitri tetap diteruskan secara sederhana,” ujarnya.-K!ONLINE