SEBERANG PERAI – Bekas atlet paralimpik bola keranjang negara, Muhammad Jufni Abdul Aziz, 31, kini lebih mudah bergerak apabila kerusi roda usangnya telah diganti dengan yang baharu.
Dia menerima kerusi roda baharu itu yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika melawat pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 di Singapura itu di rumahnya di Kampung Sungai Buaya, Nibong Tebal hari ini.
Muhammad Jufni berkata, dia gembira dengan pemberian itu kerana kerusi roda yang digunakan sebelum ini sudah rosak teruk kerana tidak mampu menggantikannya.
“Saya hanya bergantung kepada elaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM400 sebulan ketika ini, manakala permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) pula sedang dalam proses kelulusan.
“Kesihatan diri juga kurang baik kerana saya disahkan menghidap penyakit batu karang, malah dua minggu lalu saya turut dimasukkan ke hospital kerana demam panas,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, pihaknya akan membantu membaik pulih kerosakan di bahagian dapur rumah pusaka yang didiami Muhammad Jufni bersama adiknya.
“Kita sediakan kerusi roda dahulu dan bantuan lain turut akan diteliti supaya dapat membantu Muhammad Jufni menjalani kehidupan dengan lebih selesa.
“Selain tambah baik bahagian dapur dan bilik rumah, sebuah motosikal khas orang kelainan upaya (OKU) akan diberikan dalam masa terdekat bagi memudahkan pergerakannya,” katanya. – K! ONLINE