ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenakan tindakan terhadap 95 peruncit dan pemborong atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 bermula 21 April lalu.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, 89 kes melibatkan peruncit sementara enam kes adalah pemborong.
“Ia melibatkan kes tiada tanda harga iaitu sebanyak 47 kes, tiada tanda harga khas merah jambu (18 kes) dan menjual melebihi harga siling ditetapkan (30).
“Jumlah sitaan adalah sebanyak RM12,736 manakala kompaun dikenakan ialah sebanyak RM13,800,” katanya kepada
pemberita selepas mengadakan lawatan di pasar raya Mydin di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Md. Nasir Mohamad.
Katanya, negeri Johor, Kelantan dan Terengganu mencatatkan kes paling tinggi pihak KPDNHEP telah melakukan sebanyak 16,435 pemeriksaan yang melibatkan 292 pemborong dan 16,143 peruncit. – K! ONLINE