RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup 680 peket minyak masak bersubsidi dengan menggunakan sebuah van di Taman Rantau Baru Gual Nering, Gual Sitok di sini semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan terhadap van yang dipakir di kawasan berkenaan dijalankan oleh anggota PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan pada pukul 7.20 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota PGA dan KPDNHEP Kelantan telah digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap van itu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam van itu telah menjumpai beberapa kotak berwarna coklat dan bungkusan plastik mengandungi 680 peket minyak masak bersubsidi.
“Nilai keseluruhan rampasan minyak masak itu dianggarkan berjumlah RM2,720,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati minyak masak itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran mengikut laluan tikus di sempadan negara.
Katanya, selang empat jam kemudian, PGA berjaya merampas sejumlah 555 helai seluar jeans yang diseludup dari negara jiran bernilai RM33,300 di pangkalan haram Pok Mat Lubok Gong.
Katanya, sebuah kereta jenis Proton Waja turut dirampas dalam serbuan itu.
“Bagaimanapun, penyeludup yang terlibat dalam aktiviti itu berjaya meloloskan diri semasa serbuan dijalankan,” katanya. – K! ONLINE