PETALING JAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir pegawai kerajaan yang mengkritik dan mengecam sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya bagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga isu itu hangat dibincangkan dalam mesyuarat mereka.
Tegasnya, sikap mengkritik itu menunjukkan masih ramai yang tidak cerdik di situ apabila isu SJR yang dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Putrajaya itu turut di bawa ke dalam mesyuarat mereka.
“Apa yang saya sedih dalam mesyuarat mereka bangkitkan kenapa PDRM mendirikan SJR di Putrajaya, apa kena mengena Putrajaya dengan mendirikan SJR.
“Perkara ini datang daripada dalam, bukan daripada orang ramai, daripada orang yang sepatutnya faham tentang perlunya SJR itu didirikan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Di sini saya ingin kongsikan masih ramai lagi yang tidak cerdik, mengecam tanpa usul periksa mengapa PDRM sengaja menyusahkan orang mendirikan sekatan dekat Putrajaya. Bagi orang yang tidak cerdik ini, saya ingatkan agar baca balik arahan MKN sebelum nak kutuk PDRM,” ujarnya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurutnya, masih ramai pihak yang tidak memahami kesukaran yang dihadapi oleh anggota polis yang terpaksa bertugas di lokasi SJR.
“Anak buah saya duduk di SJR, ada yang prihatin tak? Bukan seronok duduk kat situ pun. Satu hari, satu shift, lapan jam itu RM7 elaun yang diberikan untuk berdiri, lepas itu dikutuk oleh orang bila berlaku kesesakan.
“Sekiranya ditahan satu kereta dengan dua soalan sahaja ‘dari mana, ada bawa surat kebenaran? Kalau satu kereta lima saat, 100 kereta berjangkit panjang. Jadi bagi budi bicara kita berikan laluan. Kita tengok muka baik menggunakan firasat kita beri lalu. Tetapi selepas waktu puncak akan diketatkan.
“Kalau ada pegawai kerajaan yang tak faham, yang tak cerdik ini tadi datang jumpa saya, saya nak ajar dia orang. Kenapa kita buat begitu, jangan pandai-pandai nak buat aduan, kritik sahaja.
“Orang ramai ini saya faham, tapi kalau datang dari dalam, menteri sendiri… jadi faham-fahamlah, hari-hari bermesyuarat, balik-balik kisah kesesakan dia nak jadi juara, membela orang ramai, lepas tu salahkan kami,” katanya. – K! ONLINE