ALOR SETAR – Bukan sekadar rumah dipindah hak milik tanpa pengetahuan, tiga wanita kini turut menanggung hutang gara-gara terpedaya dengan sebuah syarikat ejen hartanah dipercayai tidak berdaftar yang menawarkan pinjaman bercagar ala ah long.
Salah seorang mangsa, Noraini Mokhtar, 58, dari Kulim dekat sini mendakwa, dia diperkenalkan dengan syarikat ejen hartanah itu pada Januari lalu oleh seorang kenalan yang kononnya boleh menawarkan pinjaman bercagar ketika dia memerlukan sedikit wang tambahan.
“Saya hanya meminjam RM50,000, itu pun tidak penuh cuma peroleh RM49,830 setelah mencagarkan rumah yang bernilai RM300,000.
“Saya pinjam 15 Januari dan pada 21 Januari saya terkejut apabila mendapati rumah saya itu diiklankan dalam satu laman web untuk dijual,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (Cake) di sini hari ini.
Dalam pada itu menurut Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff, pihaknya percaya syarikat berkenaan memperdaya mangsa dengan modus operandi licik termasuk memalsukan dokumen perjanjian mereka.
“Cake melalui peguam kami, Zunun & Co. akan membantu dari segi guaman termasuk menyaman syarikat berkenaan untuk mendapatkan semula rumah mereka yang dipindah milik kepada orang lain tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka,” katanya. – K! ONLINE