fbpx

Polis buru lelaki tunjuk kemaluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar CCTV menunjukkan suspek mengambil wang RM 1 daripada mangsa sebelum menunjukkan kemaluannya.

KOTA BHARU – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di Lorong Taman Limau Manis di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi, lelaki terbabit sedang mengayuh basikal sebelum menghampiri mangsa yang berusia 23 tahun yang berada di dalam keretanya di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa memberikan wang sebanyak RM1 kepada lelaki terbabit yang dilihat seperti orang kelainan upaya (OKU) atau pengemis.

“Sebaik menyerahkan wang, lelaki terbabit kemudian membuka zip seluarnya sebelum menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

“Bimbang dengan keselamatannya, mangsa yang bekerja sebagai jurujual telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira pukul 9 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Abdul Rahim berkata, polis kini sedang berusaha untuk mengesan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut kerana melakukan perbuatan lucah dan mengaibkan itu.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Terdahulu, meskipun Lorong Taman Limau Manis dilengkapi dengan kamera televisyen litar tertutup (CCTV), laluan itu merupakan lokasi panas yang sering berlaku kes jenayah di daerah ini.

Sebelum ini, seorang warga emas didapati meraba bahagian punggung wanita sebelum memecut laju motosikal yang ditunggangnya di kawasan sama pada hujung bulan lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI