fbpx

Pengurus kedai kopi pula dikompaun RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ammar Aiman menunjukkan salinan kompaun RM50,000 yang diterimanya pada 21 April lalu selepas notis asal sudah diserahkan kepada KKM untuk rayuan. - Foto : YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU – Seorang pengurus di sebuah cawangan kedai kopi, Naskeen Coffee di Troika Golden Triangle di sini tidak lena tidur selepas dia dikompaun sebanyak RM50,000 ketika sedang bekerja di premis berkenaan minggu lalu.

Ammar Aiman Mat Yusof,23, berkata, dia menerima kompaun itu pada 21 April lalu selepas polis mendapati tempat dia bekerja itu tidak mengawal kemasukan pelanggan, tiada mengimbas suhu, tiada imbasan kod aplikasi MySejahtera dan membenarkan pelanggan minum di meja.

Menurutnya, sejak menerima notis itu hidupnya menjadi tidak tenang setiap kali memikirkan jumlah bayaran yang perlu dilunaskan.

“Jumlah itu sangat banyak. Sekiranya diberikan potongan sebanyak 50 peratus sekali pun, berkemungkinan besar saya masih tidak mampu untuk melunaskan bayaran itu.

“Sejujurnya, saya amat terkilan dengan tindakan itu kerana polis mengeluarkan notis tersebut tanpa budi bicara dan menyelidik keadaan sebenar secara terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Naskeen Coffee, Pasir Tumboh di sini hari ini.

Ammar Aiman memberitahu, semasa kejadian, dua orang pelanggan lelaki yang merupakan adik-beradik sedang menunggu tempahan makanan mereka siap sambil duduk di kerusi dalam keadaan penjarakan fizikal.

Katanya, bagaimanapun, pelanggan tersebut telah minum air yang telah dipesan terlebih dahulu semasa menunggu makanannya siap.

“Pada pukul 9.30 malam, anggota polis tiba dan menyuruh pelanggan terbabit kekal di tempat duduk asal sebelum bertanya sama ada mereka menggunakan aplikasi
MySejahtera atau tidak.

“Kedua-dua pelanggan itu, mengakui mereka tidak mengimbas kod MySejahtera tetapi mereka menulis kedatangan dalam buku log. Bagaimanapun, polis tetap mengeluarkan satu notis kompaun sebanyak RM1,500 kepada salah seorang daripada mereka,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik Naskeen Coffee Nazif Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pengurangan kompaun yang dikenakan terhadap kakitangannya itu.

Katanya, dia tidak akan lepas tangan kompaun yang dikenakan terhadap Ammar Aiman dan akan berusaha membantu kakitangannya itu.

Tambahnya, dia berharap rayuan kepada KKM itu diterima kerana perlu memikirkan bayaran gaji seramai 160 orang kakitangan lain yang sedang bertugas di rangkaian Naskeen Coffee yang lain ketika ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI