SELAMA ini pelakon Fatima Sana Shaikh sangat menjaga privasi tentang kehidupan peribadinya, terutama sekali dalam soal cinta.
Bagaimanapun, baru-baru ini pelakon berusia 29 tahun itu membuka kisah dengan berkongsi pengalaman cintanya yang disifatkan ‘bertoksik’.
Perkara tersebut didedahkan Fatima ketika mempromosikan filem terbaharunya untuk tayangan Netflix yang berjudul Ajeeb Daastaans baru-baru ini.
“Bercakap tentang pengalaman cinta masa lalu, saya pernah melalui sebuah perhubungan yang penuh dengan toksik.
“Pengalaman itu sukar untuk digambarkan. Jadi saya faham mengapa ramai wanita menjadi mangsa kekejaman rumah tangga, lebih-lebih lagi jika mereka tidak bekerja dan mengharapkan sumber kewangan daripada suami,” ujarnya.
Memetik BollywoofLife, Fatima tidak berniat untuk menjadi penghasut wanita lain, namun dia sekadar ingin berkongsi pengalaman sebenar yang pernah dilaluinya.