SEMPORNA – Setelah hampir dua tahun mengalami episod suram akibat pandemik Covid-19, pemilik pusat peranginan di sekitar daerah ini nekad untuk bangkit kembali demi kelangsungan hidup.
Antara pemilik pusat peranginan terbabit ialah Aminah Mad Zahala yang merupakan Pengarah Urusan Grand Dive Travel & Tours Sdn. Bhd. yang diusahakannya sejak 2018.
Aminah begitu optimis sektor pelancongan khususnya di daerah ini akan pulih seperti sediakala sebelum penularan Covid-19, walaupun dijangka mengambil sedikit masa.
Menurutnya, keyakinan itu selari dengan langkah serta pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam usaha merancakkan kembali sektor pelancongan termasuk gelembung perjalanan yang wajar dimanfaatkan oleh para pengusaha dan pemain industri.
“Dengan semangat dan tekad baharu, kami juga tidak mahu ketinggalan dalam memberikan perkhidmatan terbaik, selain menawarkan pakej promosi percutian mampu milik kepada pelancong.
“Malah, sejak pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah, kami turut menaik taraf beberapa kemudahan dan bilik di sini termasuk pembinaan tambahan dua unit chalet baharu ( 4 bilik) bagi keselesaan pengunjung,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Aminah yang juga Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkata, dengan pakej promosi serendah RM150 hingga RM200 untuk bilik penginapan termasuk makan dan minum selain aktiviti seperti menyelam, island hopping, snorkeling dan berkayak, pasti menggamit kedatangan pengunjung yang gemarkan aktiviti itu.
Malah katanya, bagi pasangan yang berhasrat berbulan madu sambil merehatkan minda, Grand Dive Travel & Tours menjanjikan suasana percutian romantik selain menikmati panorama menakjubkan matahari terbenam.
Pelancong juga tidak perlu khuatir dengan tahap keselamatan kerana difahamkan rondaan secara berkala oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa memantau pusat-pusat peranginan yang ada di daerah Semporna agar bebas daripada sebarang ancaman anasir luar.