ROM – Media Itali melaporkan bahawa bekas pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho sedang mengintai peluang untuk kembali membimbing pasukan di Serie A.
Jurulatih dari Portugal itu kuat dikaitkan dengan kembali ke San Siro untuk mengemudi pasukan lamanya, Inter Milan yang pernah dibimbingnya memenangi gelaran trebel sebelum ini.
Antonio Conte sedang membawa pasukan itu memburu kejuaraan Scudetto musim ini selepas menarajui takhta liga dengan kelebihan 11 mata berbanding pencabar terdekat, Atalanta di tempat kedua selepas 33 perlawanan.
Bagaimanapun, gelaran Serie A itu dikatakan tidak mampu untuk membuatkan Conte kekal dengan jawatannya ekoran tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pengurusan pasukan itu.
Conte sebelum ini beberapa kali mencetuskan hubungan tegang dengan pemilik kelab menerusi pelbagai kenyataan yang mengkritik keputusan yang dibuat oleh pengurusan tertinggi pasukan itu.
Justeru, Mourinho sedar bahawa peluangnya untuk kembali mengemudi Inter terbuka luas sekiranya Conte dipecat selepas ini.
Mourinho juga sebelum ini beberapa kali mengakui bahawa dalam kariernya sebagai jurulatih, beliau hanya menganggap Inter dan Chelsea sahaja seperti rumahnya sendiri.
“Gelaran trebel bersama Inter sangat fantastik dan tidak boleh dilupakan. Selepas aksi final di Madrid, jika saya berpeluang kembali ke San Siro untuk meraikannya bersama pemain dan peminat, saya mungkin tidak akan tinggalkan Inter. – AGENSI