fbpx

MAHB tidak rancang buang pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil komuniti setempat di LTSAH, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak bercadang untuk membuang sebahagian daripada kira-kira 10,000 pekerjanya susulan situasi mencabar akibat pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya terutama di bahagian pengurusan sentiasa berusaha dalam memastikan kebajikan pekerja terus terbela.

“Apabila berdepan cabaran sekarang ini, ada syarikat besar yang mengambil jalan mudah dengan menutup operasi atau membuang pekerja.

“Itu jalan paling mudah tetapi saya katakan kepada semua pihak, kita jangan buat begitu dan kalau nak sampai peringkat itu pun, biarlah pada ketika kita sudah tidak boleh ‘bernafas’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan penyampaian sumbangan keperluan asas kepada 350 keluarga B40 terpilih terdiri daripada petugas MAHB dan komuniti setempat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini hari ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Zambry memaklumkan, terdapat sebahagian daripada peruncit kecil dan sederhana di lapangan terbang seluruh negara yang terpaksa gulung tikar akibat situasi semasa.

“Apabila tiada aktiviti penerbangan dari dalam dan luar negara, sudah tentu situasi menjadi amat mencabar buat peniaga-peniaga di lapangan terbang ini.

“Kami amat bersimpati dengan mereka tetapi masih ada juga yang masih bertahan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI