fbpx

KPKT saran kerap sanitasi pusat beli-belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada sebahagian anggota bomba di Ibu Pejabat JBPM, di sini, hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyarankan pusat beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai  mendapatkan  persiapan hari raya disanitasi secara kerap bagi mengelak penyebaran  Covid-19.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pusat beli-belah itu juga perlu melantik sendiri  syarikat yang menjalankan perkhidmatan sanitasi selain perlu lebih kerap menjalankan kerja-kerja sanitasi ketika musim perayaan kerana jumlah pengunjung dijangka lebih ramai berbanding hari biasa.

“Pihak  Berkuasa  Tempatan (PBT) akan  memastikan  semua pusat  beli-belah  mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui kuasa yang diberikan termasuk menasihati pengunjung serta mengenakan kompaun.

“KPKT juga hanya  akan  melakukan  sanitasi  di  pusat  beli-belah  sekiranya  mendapat  nasihat daripada Pejabat Kesihatan  Daerah (PKD),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  menghadiri majlis penutup pertandingan tilawah al-Quran, hafazan dan  azan Piala Menteri KPKT di  Ibu Pejabat  Jabatan  Bomba  dan  Penyelamat (JBPM)  Putrajaya  di  sini  hari  ini.

Pertandingan itu bermula 19 April hingga 23 April lalu membabitkan 84 penyertaan iaitu 30 penyertaan azan, 20 penyertaan tilawah al-Quran lelaki (qari), 10 penyertaan tilawah al-Quran wanita, 15 penyertaan hafazan lelaki dan sembilan penyertaan hafazan wanita.

Pada  program  itu  juga, Zuraida  turut  menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 46 kakitangan  ibu  tunggal dan  golongan kurang upaya (OKU) daripada kumpulan B40.

Sementara itu, beliau berkata, memandangkan jumlah jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat,  pihaknya juga akan  mengadakan pusingan ke dua  sanitasi  di tempat awam dan bangunan kerajaan.

“Setakat hari  ini, sebanyak  7,413 premis  kerajaan termasuk 311 pusat  tahfiz  telah  disanitasi membabitkan  anggota  bomba, PBT   dan  agensi   lain.

“Sempena hari raya Aidilfitri nanti juga hanya 20 peratus anggota bomba dibenarkan bercuti, manakala 10,000 yang lain akan bertugas  dan bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan bencana alam, kemalangan, pematuhan Covid-19 dan lain-lain,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI