ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan pemberian bantuan khas sempena Aidilfitri berjumlah RM1,000 kepada semua pegawai dan kakitangan awam negeri.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian tersebut bakal memberi manfaat kepada seramai 5,300 pegawai dan kakitangan awam negeri termasuk pekerja kontrak serta mereka yang bercuti separuh atau tanpa gaji.
“Secara keseluruhannya, pemberian bantuan khas ini melibatkan perbelanjaan berjumlah RM5.3 juta dengan pembayaran akan dibuat sebelum ketibaan 1 Syawal.
“Pemberian ini mengambil kira kutipan hasil kerajaan negeri untuk suku pertama 2021 yang agak baik berbanding tempoh sama tahun lepas, justeru ini merupakan penghargaan terhadap kerja keras yang diberikan kakitangan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini. – K! ONLINE