NEW DELHI, INDIA – Krisis kesihatan akibat wabak Covid-19 semakin buruk di India dengan lebih ramai pesakit yang mati sehingga memaksa upacara pembakaran mayat dilakukan secara besar-besaran, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Dengan pusat-pusat pembakaran mayat yang telah penuh, beberapa kemudahan sementara turut dibina bagi membakar mayat ribuan mangsa virus Covid-19 yang mati setiap hari di negara itu.
“Orang ramai terus mati dan mati.
“Jika lebih banyak mayat, kita terpaksa bakar di atas jalan. Tiada lagi ruang untuk melakukan upacara itu di sini,” ujar seorang koordinator upacara pembakaran mayat, Jitender Singh Shanty.
Dalam sehari, kira-kira 100 mayat yang dibakar di sebuah kawasan di timur bandar New Delhi.
Daripada beberapa keping gambar, dapat dilihat asap berkepul-kepul pada waktu siang dan malam yang datangnya dari sebuah kawasan lot parkir yang dijadikan pusat pembakaran mayat sementara.
Sementara itu, menurut seorang pegawai di pusat pembakaran mayat Bhadbhada Vishram Ghat, virus Covid-19 telah ‘menelan’ bandar New Delhi seperti seekor raksasa.
“Kami hanya terus membakar mayat yang tiba. Bagaikan berada di tengah-tengah peperangan,” katanya.
India mencatatkan lebih daripada 320,000 kes baharu Covid-19 pada semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 17.6 juta kes.
Kementerian Kesihatannya turut melaporkan terdapat 2,771 kematian dalam tempoh 24 jam, dengan kira-kira 115 penduduk India menghidap virus itu setiap jam. – Agensi