SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang aktivis T. Arunakirinathan membayar ganti rugi saman fitnah RM150,000 kepada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berhubung dua hantaran yang dibuat dalam laman sosial facebook tiga tahun lalu.
Peguam Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili Mohd. Asri ketika dihubungi berkata, Hakim Datuk Ishak Bakri membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan Mohd. Asri selaku plaintif terhadap Arunakirinathan selaku defendan.
Mahkamah juga mengarahkan defendan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif secara bertulis di dalam akhbar utama pilihan plaintif dan melalui Facebook milik defendan selain kos sebanyak RM20,000 dibayar kepada plaintif.
“Selain itu, defendan juga perlu menarik balik kedua-dua posting yang memfitnah tersebut termasuk mana-mana posting yang memetik plaintif secara langsung atau tidak langsung,” kata peguam itu.
Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan suatu injuksi kekal bagi menghalang defendan daripada bercakap, menerbit, menghasut bagi tujuan penerbitan atau menyebabkan penerbitan sebarang posting memfitnah yang merujuk plaintif sama ada lisan atau secara bertulis.
Dalam prosiding itu, selain Meor Amir, turut mewakili Mohd. Asri peguam Nur Anis Abdul Rani.
Plaintif memfailkan saman fitnah itu pada 25 Februari 2019 selepas defendan didakwa membuat dua hantaran memfitnah masing-masing pada 26 dan 27 November 2018.
Dalam dua hantaran itu, defendan antara lain mendakwa bahawa plaintif adalah ingin menghancurkan kuil-kuil dan terlibat dengan penculikan seorang pastor. – K! ONLINE