BEIJING – Selepas ‘terperangkap’ dalam sebuah program realiti televisyen China, seorang peserta dari Rusia gembira apabila dia diundi keluar semasa menjadi finalis rancangan itu, lapor portal Oddity Central kelmarin.
Vladislav Ivanov, 27, yang merupakan seorang model sambilan dari Vladivostok dan mahir berbahasa Mandarin bersetuju menyertai Produce Camp 2021 selepas ketampanannya disedari penerbit program realiti itu.
Rancangan tersebut adalah untuk mencari 11 anggota sebuah kumpulan gaya K-pop yang baharu.
Ivanov menyertai 89 peserta lain bersaing untuk menganggotai kumpulan K-pop baharu itu. Bagaimanapun, dia kemudian sedar itu bukan apa yang dia mahukan, malah Ivanov me nganggap penyertaannya sebagai satu kesilapan terbesar.
Memetik laporan akhbar South China Morning Post, Ivanov kurang bersemangat dan melakukan persembahan secara bersahaja dalam rancangan itu
Peminatnya menyifatkan Ivanov yang mempunyai nama gelaran Lelush, sebagai memiliki ‘sung culture’ yang bermaksud kurang motivasi apabila melakukan sesuatu dalam kehidupan. Namun, dia dapat mara ke peringkat seterusnya sehingga menjadi salah seorang finalis.
Ivanov juga menjadi topik popular di media sosial China.
Pada masa yang sama di Rusia, kempen ‘Bebaskan Lelush’ menjadi tular di internet yang menuduh syarikat China di sebalik rancangan realiti televisyen itu menjadikan Ivanov sebagai ‘tebusan’.
Ivanov tidak boleh menarik diri daripada rancangan itu kerana jika dia berbuat demikian, dia terpaksa membayar denda.
“Saya tidak mengimpikan untuk menganggotai kumpulan pop lelaki kerana saya tidak boleh menyanyi dan menari.
“Saya berharap juri tidak akan menyokong saya. Jika peserta lain mahukan gred A, saya mahukan F yang memberi maksud freedom (kebebasan),” kata Ivanov.
Ketika temu bual terakhir rancangan itu, Ivanov mengucapkan tahniah kepada peminat dan juri yang ‘menyingkirkannya’’ daripada rancangan itu. – Agensi