PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membekukan cuti seluruh anggota dan pegawainya bagi memberi tumpuan terhadap sekatan jalan raya (SJR) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan pergerakan antara negeri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pembekuan cuti itu dilakukan kerana PDRM mahu memperketatkan SJR meskipun PKP tidak diistiyharkan.
“Kita akan perketatkan SJR seolah-olah PKP dilaksanakan. Bagi tujuan itu, PDRM berupaya menggerakkan seramai 46,000 anggota dan pegawai pada satu-satu masa.
“Dengan 12,000 lagi sebagai bersiap sedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa,” ujarnya dalam sidang akhbar hari ini.
Jelasnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan memberikan bantuan kepada PDRM sekiranya keadaan diperlukan. – K! ONLINE