PETALING JAYA – Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) mengumumkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM121.4 juta bagi suku tahun pertama (S1) berakhir 31 Mac 2021, pertumbuhan 87.5 peratus berbanding RM64.7 juta yang dicapai pada tempoh sama tahun 2020.
Peningkatan tersebut terutamanya disebabkan hasil operasi lebih tinggi iaitu RM228 juta, dengan pertambahan sebanyak 56.7 peratus daripada tahun sebelumnya.
Jumlah perbelanjaan operasi turut meningkat kepada RM69.4 juta berbanding RM63.5 juta pada S1 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya memulakan tahun 2021 pada kedudukan kukuh dan telah meneruskan momentum pertumbuhan tahun lalu.
“Nilai Purata Dagangan Harian (ADV) bagi Securities Market’s On-Market Trades (OMT) terus meningkat, dengan pertumbuhan 100.8 peratus kepada RM5.1 billion berbanding RM2.5 bilion pada S1 2020.
“Pelabur runcit domestik terus memainkan peranan penting dalam pasaran, disokong akses mudah ke pasaran saham dan persekitaran kadar faedah rendah.
“Kami telah melihat prestasi kukuh di pasaran pada S1 2021 dan menjangkakan ia akan terus menarik pelaburan dan dagangan tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Muhamad Umar menambah, sejauh mana tahap pemulihan ekonomi negara pada tahun ini masih lagi dalam tanda tanya, sama ada berada dalam kedudukan yang kukuh untuk kembali berkembang.
“Mengambil kira impak berterusan Covid-19 tahun ini, Bursa Malaysia akan terus menyokong peserta pasaran dengan menyediakan inisiatif yang bakal membantu ekosistem.
Selain itu, ia juga merupakan bantuan untuk mengurangkan beban kewangan peserta.
“Kami akan turut memberikan lebih fleksibiliti untuk menyokong mereka menghadapi tempoh mencabar ini.
“Pelan strategik tiga tahun (2021-2023) kami telah diformulasikan untuk memastikan Bursa Malaysia terus kekal kompetitif,” katanya.