SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri 2021 buat penjawat awam sebanyak setengah bulan gaji atau minimum sebanyak RM1,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut akan melibatkan seramai 3,974 anggota perkhidmatan awam jabatan negeri dengan nilai keseluruhan peruntukan sebanyak RM6.3 juta.
Menurutnya, keputusan tersebut juga turut terpakai kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri dengan anggaran berjumlah RM3.6 juta kepada 1,869 orang kakitangan.
“Kerajaan negeri akan membuat pembayaran BKK Aidilfitri 2021 tersebut pada 3 Mei depan. Sebenarnya sebahagian besar penjawat awam di Negeri Sembilan ini di bawah kategori 40 peratus terendah (B40), hampir 92 peratus.
“Kami harap dengan adanya bantuan ini akan meningkatkan lagi komitmen dan kesungguhan, motivasi penjawat-penjawat awam kita untuk memberikan yang terbaik untuk negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini. -K! ONLINE