fbpx

ATM rancang tambah 13 bot pemintas baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Demonstrasi keupayaan bot FIC melakukan pelbagai gerakan taktikal dan simulasi bagi mengekang pencerobohan pendatang asing.

LUMUT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang untuk menambah 13 lagi bot pemintas “Fast Interceptor Craft” (FIC) bernilai lebih RM170 juta bagi memperkasakan lagi pertahanan negara khususnya ancaman maritim.

Ia susulan penerimaan enam bot tempur jenis sama melibatkan perolehan sebanyak RM80 juta bagi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembelian bot-bot tempur itu sangat diperlukan untuk memperkasakan kekuatan TLDM dalam menjalankan rondaan di laut khususnya melaksanakan Op Benteng.

“Ini merupakan fasa pertama kita menerima FIC dan kita bercadang untuk tambah 13 lagi FIC dalam tempoh yang terdekat.

“Bot FIC ini akan membantu pasukan secara keseluruhan bukan sahaja Op Benteng tetapi juga tugas-tugas keselamatan yang lain,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Demonstrasi Keupayaan bot berkenaan di Jeti Peluru, Pangkalan TLDM Lumut kelmarin.

Kesemua bot-bot FIC ini dibina oleh syarikat tempatan, Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) yang berpangkalan di Lumut Port Industrial Park di sini.

Hadir sama ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dan Pengerusi Eksekutif Gading Berhad, Datuk Seri Johari Harun.

Pada demonstrasi tersebut, Menteri Pertahanan dipertontonkan keupayaan enam buah bot FIC melakukan pelbagai gerakan taktikal termasuk simulasi memintas bot nelayan asing serta mengekang pencerobohan pendatang asing ke pantai.

FIC sepanjang 18 meter dan memiliki dua jentera 1,550 kuasa kuda dengan sistem dorongan jet air itu dikendalikan lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota pasukan gerak cepat (QRF) pada satu-satu masa.

Ia juga boleh dilengkapi dengan mesingan pada sisi bot bagi tujuan pertahanan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, pihaknya sangat berpuas hati dengan kemampuan syarikat tempatan itu membina dan menyiapkan keenam-enem bot tempur dalam tempoh lima bulan.

“Bot pemintas FIC yang dilengkapi dua buah jentera utama dengan sistem dorongan jet air itu mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 50 knot dan akan dikendalikan oleh lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota pasukan tindak cepat pada satu-satu masa.

“Bot-bot ini di tempatkan di pangkalan TLDM seluruh perairan negara termasuk Sabah yang lokasinya akan ditentukan nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Ismail Sabri turut merasmikan kiosk mini dan stesen minyak BHP Mutiara Armada di pangkalan tersebut iaitu yang pertama dibina dalam kem tentera di negara ini.

Menurut Ismail Sabri, kios sama bakal dibina di kem-kem lain di seluruh negara bagi memudahkan anggota tentera mengisi minyak kenderaan tanpa perlu keluar kem selain dijadikan pusat niaga sehenti untuk menawarkan lain-lain perkhidmatan termasuk mesin juruwang automatik (ATM).

Ia disusuli dengan melawat dua anggota TLDM yang kurang upaya iaitu Bintara Muda Nor Zaharin Rosland, 39, yang diserang angin ahmar sehingga menyebabkan separa lumpuh di sebelah kanan badan sejak 2018.

Seorang lagi anggota, Bintara Muda Asrul Nizam Ahmad, 36, mengalami separa lumpuh pada tangan dan kaki sebelah kiri selepas mengalami pendarahan beku di dalam kepala selepas terhantuk di ruangan enjin kapal ketika membuat kerja-kerja senggaraan pada 2017.

Semasa kunjungan tersebut, Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan one off Sejambak Kasih dan Samudera Kasih masing-masing sebanyak RM500 serta bantuan makanan tambahan, susu dan lampin pakai buang berjumlah RM600 yang diterima setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI