fbpx

Antara penjual burger PKP dan peniaga bazar Aidilfitri PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian orang awam meluangkan masa hujung minggu dengan berkunjung di Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman yang diadakan pada setiap hujung minggu.

Sedih pula hati bila terbaca kisah seorang penjual burger di Jalan Panji, Kota Bharu yang dikompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berniaga melebihi had waktu 10 malam.

Ironinya, kejadian yang menimpa lelaki yang menjalankan perniagaan di depan rumahnya itu mungkin tidak akan dikenakan kompaun jika dia menjual burger pada waktu yang sama di Lembah Klang.

Bagaimanapun, disebabkan perbezaan status kawalan pergerakan antara dua kawasan tersebut iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, manakala PKP di Kelantan, maka peniaga burger itu terpaksa menerima padah akibat kecuaiannya.

Realitinya jika dibuat perbandingan, kes harian di Selangor dan Kuala Lumpur secara konsisten jauh lebih tinggi berbanding di Kelantan.

Semalam sahaja misalnya, Selangor merekodkan 750 kes dan Kuala Lumpur 377 kes, manakala Kelantan pula hanya merekodkan 484 kes. Bagaimanapun, status dan peraturan kawalan pergerakan yang diputuskan di dua negeri itu berbeza.

Malah, di Lembah Klang, bazar Ramadan dibenarkan dan bazar Aidilfitri boleh beroperasi sehingga pukul 2 pagi, manakala semua itu tidak dibenarkan di Kelantan.

Walaupun pelaksanaan bazar Ramadan dan Aidilfitri di Lembah Klang dibenarkan dengan SOP yang ketat, namun pihak berkuasa sudah tentu tidak mampu untuk memantau dan mengawal pergerakan semua orang.

Sejak minggu lalu, ribuan warga kota sebenarnya telah membanjiri bazar-bazar Aidilfitri baik di Kuala Lumpur mahupun di Selangor seperti di Lorong Tuanku Abdul Rahman, bazar-bazar di uptown dan gedung membeli-belah lain untuk membuat persiapan raya.

Pastinya, suasana di bazar-bazar tersebut sebenarnya jauh lebih ‘happening’ jika dibandingkan dengan tempat berniaga penjual burger di depan rumahnya di Jalan Panji, Kota Bharu sehingga dia dikompaun RM50,000 oleh pihak berkuasa kelmarin.

Kehadiran pengunjung yang begitu ramai ketika ini dengan jangkaan lebih ramai akan datang pada minggu-minggu terakhir Ramadan nanti, pasti membuatkan para peniaga tersenyum riang, namun harus diingat pandemik masih belum reda dan gelombang keempat boleh meletus jika kita semua terleka.

Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu memberi lebih perhatian terhadap tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti bazar-bazar Aidilfitri ini dan tidak hanya bertegas terhadap mereka yang bersalah di tempat-tempat yang terpencil.

Kita bukan apa, kasihan kepada para petugas barisan hadapan terutamanya di hospital-hospital yang kadar kes Covidnya masih tinggi sehingga masih ada wad baharu yang terpaksa dibuka dan katil-katil unit rawatan rapi terpaksa ditambah untuk menampung pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 serta pesakit yang berisiko.

Mereka juga pastinya mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga dengan tenang dan gembira sama seperti kita walaupun tidak dapat merentas negeri untuk balik kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI