PETALING JAYA – Sebanyak sembilan kawasan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan PKPD di Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) Machang, Kelantan berkuat kuasa 29 April sehingga 12 Mei 2021.
Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 87 kes positif hasil daripada 207 keseluruhan ujian saringan yang dilakukan ke atas pelajar dan penghuni maahad tersebut.
“KKM juga memaklumkan kes telah menular dalam kalangan warga MTAZ dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi berdasarkan trend pertambahan kes baru.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di MTAZ Machang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD turut akan dilaksanakan di Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan berkuat kuasa 29 April sehingga 12 Mei 2021.
“KKM telah melakukan 170 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 38 kes positif Covid-19 direkodkan.
“Pada masa sama, KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti kes tinggi iaitu 22.9 peratus,” katanya.
Menurut beliau, dia penempatan sekitar Sungai Chalit serta lima penempatan sekitar Sungai Klau, Raub, Pahang turut akan dilaksanakan bermula 29 April sehingga 12 Mei 2021.
“Sehingga kini, KKM telah merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes positif di Sungai Klau, manakala terdapat tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan,” katanya.
Penempatan terlibat berkenaan ialah Kampung Baru Sungai Chalit, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit, Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau. – K! ONLINE