JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun kerana memiliki pelbagai jenama arak yang tidak bercukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia bernilai lebih RM87,000 dalam simpanannya, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am, Superintendan Dimin Awang berkata, wanita itu ditahan pada pukul 10 pagi di sebuah rumah di Jalan Lembah 44, Taman Desa Jaya, di sini.
“Antara yang dirampas termasuklah 70 karton arak jenis bir serta 645 botol arak jenis ‘liquor’ dengan nilai RM87,000 beserta cukai.
“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Nissan Almera yang dipercayai digunakan dalam sindiket pengedaran arak seludup tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM127,000.
Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat dibawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.-K! ONLINE