JAKARTA – Sepasang suami isteri dari Jember, Jakarta Timur nekad menaiki motor menuju ke kota Mekah kerana terlalu rindu untuk menunaikan ibadat umrah di tanah suci itu, lapor Suara.com, semalam.
Amir Faisol, 57, dan isterinya, Mintasih Suryawati memulakan perjalanan yang dijangka mengambil masa enam bulan itu pada 13 April lalu.
Menurut Amir, pada mulanya dia ingin melakukan kembara itu sendirian tetapi apabila ia diketahui Mintasih, isterinya merayu mahu ikut serta.
“Kami tidak membawa barangan yang banyak cuma keperluan penting sahaja untuk perjalanan ini.
“Keluarga juga menyokong niat kami kerana ia dilakukan dengan tujuan baik walaupun kelihatan sukar dilaksanakan,” katanya,
Pasangan yang menaiki motorikal jenis Honda 150 dan Yamaha Vega itu ini turut merakam detik kembara mereka dan memuat naik klip video tersebut di akaun YouTube Amir Brandal.
Dalam pada itu, Amir turut meminta orang ramai berdoa supaya perjalanan ke Mekah dipermudahkan dan impian mereka untuk menunaikan umrah turut tercapai.
Perjalanan dari Indonesia ke Arab Saudi dianggarkan sekitar 9,000 kilometer dan perlu melalui beberapa buah negara seperti Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan,Oman dan Emiriyah Arab Bersatu.
Pada 2018, seorang lelaki warga Indonesia mengambil masa setahun berjalan kaki dari Jawa Tengah ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji. – Agensi