Media sosial tersangat kecoh sejak seminggu lalu. Bukan cara bermesej menerusi internet tidak pernah kecoh. Sebelum ini banyak pihak menggunakan ‘Socmed’ untuk mempopularkan diri.
Lihat sahaja karakter seperti Neelofa dan Sajat. Mereka bijak menggunakan media sosial untuk meraih wang besar. Ramai lagi yang telah menjadi kategori sedikit bawah daripada ‘jutawan’ kerana media sosial.
Artis, pelakon dan influencer semua menjadikannya sebagai medan menjana pendapatan. Lebih ramai pengikut, lebih jauh capaian dan lebih besar pendapatan. Cuma dalam keadaan semasa ketika ramai orang yang agak berang atau panas hati, sesuatu tulisan di media sosial akan tular atau trending dengan pantas.
Itu yang berlaku kepada beberapa tanda pagar yang hangat menjadi perbualan masyarakat. Mula dengan tanda pagar (sama maksud dengan hashtag) #KerajaanGagal. Kemudian negara dikejutkan tanda pagar #DengkiKe dan diikuti #ApaMasalahSaudara.
Contohnya #KerajaanGagal sohor di Twitter selepas seorang pengguna kecewa kerana jumlah kes Covid-19 yang tidak kurang daripada empat digit. Kebanyakan kita tahu mengenai asal #DengkiKe serta susulannya sehingga aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza ditahan polis bagi membantu siasatan kes menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baru hendak menarik nafas, Kementerian Kesihatan Malaysia pula menjadi mangsa.
Ini berlaku selepas hantaran seorang pembaca dibalas pentadbir akaun KKM dengan jawapan, “Apa masalah saudara”. Seperti api dicurah minyak, terbakarlah tanda pagar #ApaMasalahSaudara di dunia media sosial.
Maka ramailah yang menyambut tanda pagar #ApaMasalahSaudara. Dengan peluang yang tersedia, maka mereka pun mengutarakan semua masalah kepada KKM. Tetapi apabila dibaca, ada yang kelakar dan tidak kurang yang boleh menyebabkan blood pressure naik.
Itu adalah realiti dunia media sosial. Anda mahu terkenal dan berkongsi pandangan atau mengkritik serta dianggap penting dalam kelompok. Tetapi dalam ‘Socmed’, kalau berani beri, harus berani terima.
Sebelum ini ramai individu terkenal telah ‘melarikan’ diri daripada ‘Socmed’ kerana kecewa. Seorang ahli perniagaan sebelum ini galak mengkritik sektor tertentu tetapi apabila terkena di batang hidung sendiri, dia menutup akaun. Malah masalah ini bukan hanya di negara ini. Pasukan Liga Perdana Inggeris sendiri akan memboikot media sosial untuk perlawanan akan datang berikutan peningkatan kenyataan berbaur rasis terhadap pemain kelab masing-masing.
Apabila pasukan tewas, selalunya tumpuan adalah kepada pemain kulit hitam. Tetapi itu adalah realiti media sosial. Sama ada ia didakapi sepenuhnya – baik dan buruk – atau jangan didekati.
Seseorang tidak boleh menyertai media sosial dengan harapan untuk mengkritik tetapi berharap tidak dikritik. Seperti pepatah Melayu, ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Dalam dunia media sosial, tiada pipit, enggang atau helang.