PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim enggan menjadikan kekalahan mengejut 0-1 kepada pasukan Terengganu FC (TFC) sebagai satu malapetaka buat pasukannya dalam usaha mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini.
Tunku Ismail berkata menerusi Instagramnya, apa yang lebih penting JDT terus gah dengan pelbagai rekod yang sudah dicipta dan ketika ini masih belum dapat diatasi oleh mana-mana pasukan sekalipun.
“Kekalahan adalah small hiccups (adat permainan). Yang penting kami masih wujud, rekod kami belum ada mana-mana pasukan pecahkan. Kami masih di sini dan our agenda is clear (misi kami jelas). Dua tahun tak kalah. Kekalahan akan berlaku, tak menang piala akan berlaku.
“Tetapi kelab, aset dan pencapaian masih wujud dan kekal. Semangat kami adalah anda, apabila kami menang, terima kasih kepada anda. Apabila kami kalah, minta maaf kami telah cuba beri yang terbaik,” kata Tunku Ismail.
Pada masa sama, Tunku Ismail yang turut mesra dengan gelaran Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberi bayangan pasukan itu akan terus menjadi gergasi Liga Malaysia (Liga M) selagi di bawah pemerhatiannya.
“Last sekali kepada penyokong kami dan penyokong bola sepak tanah air. Saya masih hidup. JDT will always remain the biggest (JDT adalah kelab terbesar Liga M). Nak bunuh JDT, kena matikan TMJ dahulu.
“Kita semua sedia maklum itu bukan mudah. Buat JDT, ini bukan kali pertama kita kalah, so relax (perlu bertenang). Kepada yang benci kami, selamat maju jaya,” katanya.
JDT yang telah melakar kejuaraan ketujuh berturut-turut Liga Super sejak edisi 2014 kekal mendahului carta liga ketika ini dengan mengutip 23 mata daripada 10 perlawanan.