AMPANG JAYA – Pergaduhan tiga individu susulan kejadian pecah cermin kenderaan akhirnya berpanjangan sehingga ke balai polis selepas mereka ditahan di Taman Permata, Hulu Kelang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 petang sewaktu seorang lelaki sedang menunggang motosikal berdekatan lampu isyarat Taman Permata, Hulu Kelang.
“Kemudian sebuah teksi didakwa telah berhenti secara mengejut mengakibatkan lelaki tersebut turun dari motosikalnya dan menarik keluar pemandu untuk menegur cara pemanduannya yang telah mengakibatkan berlaku pertengkaran di antara mereka.
“Penunggang motosikal itu kemudiannya pulang ke rumah dan kembali semula ke lokasi dengan membawa sebatang besi disyaki penyerap hentakan ‘absorber’ kereta dan memecahkan cermin bahagian penumpang belakang kanan teksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, tidak berhenti di situ, penunggang motosikal berkenaan turut memecahkan cermin bahagian pemandu sebuah kereta jenis Proton Satria milik adik kepada pemandu teksi berkenaan sewaktu mereka berada di hadapan sebuah pasar raya di Taman Permata.
“Susulan kejadian itu, pemandu teksi serta adiknya yang berusia 25 dan 26 tahun itu telah pergi ke rumah penunggang motosikal itu di Taman Permata dan memukul lelaki berkenaan selain membuat ugutan.
“Pihak polis telah menerima laporan daripada kedua-dua belah pihak dan telah menangkap pemandu teksi serta adiknya kerana mencederakan dan membuat ugutan manakala penunggang motosikal ditahan kerana perbuatan khianat,” jelas beliau.
Tambah Mohamad Farouk, siasatan awal mendapati penunggang motosikal dan pemandu teksi tinggal di kawasan perumahan yang sama dan pernah mempunyai masalah kejiranan sebelum ini.
“Kesemua tahanan kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun keseksaan (KK) kerana dengan niat mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK kerana membuat ugutan jenayah dan Seksyen 427 KK kerana perbuatan khianat,” tegas beliau.