fbpx

Nilai murni semakin defisit, tiada lagi adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, EDDY HAMIDI

Sejak kebelakangan ini, segelintir pihak seolah-olah sengaja mahu mencabar serta menggoyahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Daripada isu menghina agama, merendah-rendahkan kaum lain sehinggalah kepada isu yang paling melampau iaitu perbuatan menghina institusi diraja.

Di mana salahnya dan bagaimana caranya untuk memperbaiki keadaan ini yang dilihat jika berterusan mampu membawa negara ke kancah perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, situasi berkenaan dilihat sebagai hasil daripada hakisan yang terjadi pada nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

“Situasi kehidupan kita sekarang ini menunjukkan telah berlakunya defisit nilai-nilai kemanusiaan kerana kita tidak dapat mendidik jiwa-jiwa manusia dari segi pendidikan sistem berkeluarga dan pembangunan rumah tangga.

“Nilai-nilai ketimuran, sopan dan adab dilihat tidak lagi ditekankan dalam pendidikan sama ada secara formal atau tidak dan ia terjadi kerana nilai-nilai tersebut tidak lagi didukung oleh institusi seperti kekeluargaan atau pendidikan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau, tidak dinafikan bahawa undang-undang atau sistem perundangan itu penting untuk mengubah perilaku seseorang, namun berkait isu itu, langkah-langah bersifat holistik juga perlu diterapkan.

“Kita tidak boleh melupakan penghayatan nilai-nilai ke­negaraan dalam pendidikan ke­rana jika dasar itu ada, ia dengan sendirinya akan membentuk keperibadian yang tinggi dalam diri seseorang.

“Segalanya juga bermula dari rumah, sekiranya banyak institusi kekeluargaan yang gagal membentuk keperibadian mulia, maka situasi sebeginilah yang akan terjadi,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed menegaskan, isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi selepas hampir 64 tahun Malaysia merdeka.

“Perlu diingatkan bahawa Malaysia didiami oleh pelbagai kaum dan kepercayaan agama. Jadi berhentilah memainkan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Orang ramai perlu menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform-platform tertentu sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian negara.
“Tindakan ke atas mereka yang bertindak sedemikian boleh diambil di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegas beliau.

Bagaimanapun, isu mengganggu gugat keharmonian dalam negara ini tidak akan bertemu titik penamat selagi ada individu yang berterusan bermain dengan api tanpa menghiraukan akibat daripada perbuatan mereka.

Peringatan menerusi contoh-contoh baik agar dapat diteladani perlu ditunjukkan terutamanya pemimpin-pemimpin negara serta tokoh masyarakat kerana dilihat sangat penting ketika ini bagi kembali membentuk keperibadian juga jati diri masyarakat.

Semoga isu-isu perkauman, keagamaan serta penghinaan kepada tampuk pemerintahan negara dapat dihapuskan sekali gus membangkitkan patriotisme dalam diri setiap individu yang bergelar anak Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI