PETALING JAYA – Akaun Facebook selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, diserang netizen yang tidak berpuas hati dengan kompaun RM20,000 dikenakan pihak polis terhadapnya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Rata-rata netizen membandingkan kompaun dikenakan terhadapnya tersebut dengan kompaun RM50,000 dikenakan pihak polis terhadap seorang peniaga burger berusia 38 tahun di Kelantan kerana berniaga lebih masa ditetapkan.
Seorang pengguna Facebook menggunakan akaun Hanif Mohamad berkata, banyak permintaan supaya Neelofa membayarkan kompaun peniaga burger tersebut merupakan suatu cadangan yang baik.
“Kasihan kepada dia Kak Lofa. Caprice dah lancarkan tabung untuk bantu Abang Burger dan ramai lagi yang senasib. Semoga semakin maju bisnes Kak Lofa,” sindirnya.
Pemilik akaun Facebook Weeya Mamazarif menulis, ramai orang buat silap, namun kesilapan yang dilakukan selebriti popular itu paling menyakitkan hati rakyat.
Bagaimanapun, ada juga segelintir netizen meminta supaya isu tersebut tidak dipanjangkan disebabkan Neelofa telah membuat pengakuan dan meminta maaf.
Tinjauan Kosmo! mendapati hantaran Neelofa di Facebook beliau berhubung isu tersebut setakat petang ini telah menerima lebih 10,000 komen netizen dan 1,100 perkongsian.
Terdahulu, media melaporkan Neelofa dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz masing-masing dikompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar SOP PKPB.
Seramai 20 ahli keluarga Neelofa turut dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM30,000 kerana gagal melakukan penjarakan fizikal sewaktu majlis akad nikah mereka.
Pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri diberikan pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama.
Semalam, tular seorang peniaga burger Wan Mohd. Faisal Wan Kadir,38 yang berkongsikan kisahnya dikompaun sebanyak RM50,000 ketika sedang berniaga di hadapan rumah sendiri. – K! ONLINE