PETALING JAYA – Selang beberapa jam selepas dikenakan kompaun sebanyak RM60,000, perbuatan selebriti berniqab, Neelofa memuat naik sekeping gambar burger dalam InstaStorynya mengundang kecaman netizen.
Rata-rata netizen mendakwa pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, menyindir menyindir seorang peniaga gerai burger yang dikompaun RM50,000 baru-baru ini oleh pihak berkuasa.
Gara-gara foto tersebut, isteri kepada penceramah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 26, itu diserang hebat bahkan disifatkan tidak bersimpati dengan nasib peniaga burger berkenaan.
Tidak berdiam diri, bekas pengacara MeleTOP itu dalam satu perkongsian InstaStory seterusnya memaklumkan dia tidak berniat untuk memerli individu lain,, khususnya peniaga burger terbabit.
“Ya Allah SWT, ramainya salah anggap dan bersangka tidak baik.
“Sebelum muat naik foto tersebut, saya telah hubungi pihak peguam dan polis untuk bertanyakan secara terperinci mengenai kompaun yang dikenakan terhadap individu berkenaan,” tulisnya dalam InstaStorynya.
Bahkan, pemilik jenama tudung Naelofar itu juga memberitahu dia ingin membantu menyelesaikan bayaran kompaun lelaki tersebut.
“Saya juga minta untuk bantu menyelesaikan bayaran (kompaun) dengan izin Allah SWT,” katanya lagi.
Sementara itu, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp bersama peguamnya.
Dalam foto tersebut, peguam Neelofa dilihat sedang mendapatkan jumlah sebenar kompaun yang dikenakan terhadap peniaga berkenaan.
Selain itu, dia turut berkongsi sepotong hadis yang menyatakan tentang kelebihan membantu orang lain yang dalam kesusahan.
“Rasuluallah SAW menjelaskan, kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah SWT akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari Kiamat.
“Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat,” hadis riwayat Muslim.
Kosmo! hari ini melaporkan Neelofa, Pu Riz dan 20 ahli keluarga mereka dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 oleh pihak berkuasa atas kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa majlis pernikahannya dan menyalahgunakan permit rentas negeri pada Mac lalu. – K! ONLINE