SEBERANG PERAI – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjunam ke dalam Sungai Perai di sini hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.10 malam berhubung kejadian tersebut sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 66 tahun dipercayai pemandu lori berada di dalam kenderaan itu.
“Kejadian dikatakan berlaku apabila sebuah lori 10 tan telah terjunam ke dalam sungai dan terdapat seorang mangsa.
“Komander operasi mengarahkan anggota membuat pencarian di lokasi dan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut digerakkan ke tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Difahamkan usaha mencari mangsa sedang dilakukan pihak bomba.
Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai di lokasi kejadian memaparkan seorang lelaki berjalan kaki dan menaiki sebuah lori yang diparkir sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam sungai. – K! ONLINE