fbpx

Kualiti Spurs masih belum sepadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SPURS terus kempunan untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak 13 tahun lalu apabila tewas pada aksi final EFL awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Pengurus sementara Tottenham Hotspur, Ryan Mason enggan menyalahkan anak-anak buahnya selepas terpaksa akur tewas pada aksi final Piala Liga England dengan keputusan 0-1 kepada Manchester City awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Wembley itu, Spurs gagal menan­dingi kualiti yang dimiliki oleh pasukan The Citizens yang meraih gol tunggal perlawanan pada minit-minit akhir saingan menerusi tandukan Aymeric Laporte.

Kata Mason, semua pemain telah berusaha keras untuk mencari gol penyamaan tetapi prestasi luar biasa yang dipamerkan oleh skuad kendalian Pep Guardiola itu telah menyekat usaha pasukannya untuk menjulang trofi buat kali pertama sejak 2008.

“Pemain mempercayai taktikal yang sudah saya terapkan dan memberikan seratus peratus di atas padang. Namun, situasi ternyata sukar kerana City berada dalam kelas yang tersendiri dengan menguasai sebahagian besar perlawanan.

“Malah, penjaga gol kami (Hugo Lloris) menjadi penyelamat apabila setiap percubaan bahaya yang dilakukan oleh pasukan lawan berjaya dinafikan. Kami turut mempunyai peluang keemasan tetapi pujian wajar diberikan kepada penjaga gol lawan (Zack Steffen),” katanya.

Sementara itu, Mason yang diberi mandat sebagai pengurus sehingga penghujung musim ini untuk menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada minggu lalu mahu pasukannya kembali fokus pada baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Ia adalah hari yang mengecewakan untuk saya dan barisan pemain kerana terlepas untuk menamatkan badi kejuaraan. Namun, inilah lumrah bola sepak dan kami perlu fokus ke depan dalam usaha memburu slot ke pentas Liga Juara-Juara Eropah musim depan,” katanya.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI