PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat penilaian semula terhadap kes peniaga burger dikenali sebagai Wan Mohd. Faisal Wan Kadir, yang dikompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan, di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penilaian itu untuk mempertimbangkan sama ada pengurangan atau pengecualian boleh diberikan jika didapati ada asas yang munasabah.
Katanya, peniaga berkenaan diminta supaya mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.
“KKM amat prihatin dan memandang serius kes yang mendapat perhatian dan simpati ramai ini.
“KKM melihat kes ini sebagai kes terkhusus dan perlu ditangani segera. ” katanya di dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Adham berkata, tujuan KKM menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukan hukuman semata-mata.
Katanya, individu yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenar mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan.
“Orang ramai diminta memberikan kerjasama yang tinggi untuk samasama melindungi diri, keluarga dan masyarakat serta seterusnya membendung penularan Covid-19,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial kisah seorang peniaga burger di Kampung Rambutan, Kelantan yang meluahkan rasa terkilan selepas dikenakan kompaun RM50,000 kerana kesalahan berniaga lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Ketika ini, seluruh jajahan di Kelantan menjalani PKP berkuat kuasa dari 22 April lalu hingga 29 April depan berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu. -K! ONLINE