PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melancarkan kempen program kesedaran sempena Aidilfitri yang antara lain membabitkan rondaan di beberapa kawasan berisiko tinggi kemalangan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kempen itu akan diadakan seminggu sebelum dan seminggu selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.
“Kempen ini meliputi rondaan di lokasi berisiko tinggi, kawasan berpotensi kes lemas dan pemeriksaan bangunan yang berisiko tinggi yang akan diambil perhatian serta tindakan lebih awal,” katanya pada majlis soft launch International Fire Conference & Exhibition Malaysia (FCEM) 2021 dan Bomba Fighters Malaysia Virtual Run di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, seperti tahun sebelum ini, pihaknya masih mengekalkan jumlah 80 peratus bekerja dan hanya 20 peratus yang dibenarkan bercuti sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
“Langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk tidak membenarkan sebarang pergerakan rentas negeri bagi menyambut perayaan dalam usaha membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.
“Kerja rondaan akan berterusan dilakukan oleh semua warga JBPM di 322 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negara bagi memastikan keselamatan serta sentiasa bersedia dari aspek keselamatan jalan raya dan risiko kebakaran di kawasan rondaan,” katanya.-K! ONLINE