PERNAH suatu ketika, figura itu berada di puncak kerjayanya. Dia popular, apa sahaja muzik yang dihasilkannya pasti akan menjadi siualan orang ramai. Pada tempoh tersebut juga, kontroversi mudah hinggap di sayap profesinya.
Kendatipun, itu semua sudah lama berlalu. Faizal Tahir kini meletakkan populariti, perihal kontroversi dan perkara yang dikejar artis muda sekarang jauh di belakang. Dia sekarang sudah berusia 43 tahun. Satu usia matang yang penuh dengan ilmu.
Sebelum peluncuran album studio terbaharunya Qibla, Faizal atau nama lengkapnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir menulis sepucuk surat dalam sosial media menyatakan dirinya sudah berasa lelah untuk terus menulis muzik.
Dia ingin berehat dan memberi fokus kepada perihal-perihal yang sebelum ini tergendala atau terganggu, terutama soal keluarga disebabkan terlalu memberi tumpuan terhadap muzik.
Faizal tidak menafikan, keputusan untuk berehat seketika daripada melibatkan diri secara aktif dalam bidang muzik kerana didorong kekangan waktu bersama insan tersayang bernama keluarga.
“Anak-anak semakin membesar, yang paling sulung sudah nak habis sekolah menengah. Terus terang saya katakan, saya keletihan sebenarnya. Jadi, saya mahu berehat dan relaks.
“Saya akan tetap berkarya tetapi bukan buat lagu untuk diri sendiri. Susah untuk saya keluarkan muzik daripada sistem. Kalau ikutkan, banyak kali saya terfikir nak terus berhenti dan enggan lagi terlibat dengan muzik.
“Tetapi, Tuhan tak pernah beri saya peluang untuk betul-betul berhenti. Ada sahaja benda yang saya ingin kongsi kepada peminat. Kalau diikutkan, saya masih di sini (berkarya) tetapi untuk orang lain. Untuk diri saya mungkin akan ambil masa dua tiga tahun lagi,” kata bapa kepada enam orang cahaya mata itu baru-baru ini.
Penyanyi itu ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu berjudul Qibla yang memuatkan lagu nostalgiknya dengan kumpulan Mirwana iaitu Aku Tanpa CintaMu yang dirakam semula selepas 17 tahun.
Ralat, bersalah dengan isteri
Mengulas lanjut, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Assalamualaikum itu mendedahkan, dia berasa ralat dan bersalah kerana selama ini terlalu sibuk dengan kerjaya sebagai pemuzik sehinggakan kurang masa untuk bersama keluarga.
“Kita semua pernah jadi anak, ada mak ayah tetapi kurang masa untuk dihabiskan bersama. Saya tidak mahu anak-anak fikir saya begitu. Dahulu, waktu muda, banyak perkara saya terlepas pandang. Jadi sekarang adalah waktu untuk ‘recover’ semuanya.
“Rasa bersalah dengan isteri menebal dalam hati, jadi saya cuba untuk ambil alih tugas dia sekarang. Saya cuba juga memasak tapi isteri kata tak payah sebab dia masak lagi sedap (ketawa).
“Saya banyak buat benda-benda lain macam siapkan anak pergi sekolah, duduk dengan mereka dan tengok kerja sekolah. Sekarang kalau ada di rumah, saya ingin habiskan waktu dengan mereka sahaja,” kata Faizal.
Ujar penyanyi itu lagi, tiada cara lain untuk memantau perkembangan anak-anak selain menghabiskan masa bersama mereka dengan secukupnya.
“Hujungnya nanti, kita akan berbalik kepada keluarga juga. Saya perasan budak-budak sekarang terlalu hanyut apabila wujudnya pelbagai media sosial seperti Twitter dan TikTok.
“Sebagai bapa, saya kena pantau anak-anak. Satu-satunya cara adalah dengan banyak menghabiskan waktu bersama mereka. Kalau sekadar tengok dan berharap mereka tak buat benda-benda tak elok, sia-sia sahaja.
“Saya sebagai bapa kena pastikan yang mereka tidak terus hanyut dibawa arus deras dalam dunia yang penuh dengan toksik. Macam mana nak halang? Caranya, habiskan waktu dengan mereka,” tuturnya.
Faithful Publishing
Selain bersama keluarga, Faizal akan banyak meluangkan masa untuk menggerakkan Faithful Publishing yang ditubuhkannya sejak awal tahun ini bagi mencari pelapis dan mencungkil bakat baharu dalam bidang komposisi dan penerbitan muzik.
Katanya, antara artis yang bernaung di bawah payung pemantauan dirinya adalah separuh ahli-ahli kumpulan rap popular, K-Clique. Mereka adalah Noki, KDeaf, Nasty Nas, Gnello dan SoMean.
“Faithful Publishing akan bertindak sebagai syarikat untuk mereka mengasah bakat muzik masing-masing. Sebagai contoh, kalau ada lagu yang saya rasa sesuai diberikan kepada Noki untuk diterbitkan, saya akan beri kepadanya.
“Lebih kepada ‘mentoring’ bukan bermakna diri ini bagus tetapi saya percaya, dengan pengalaman hampir 17 tahun dalam industri, saya boleh bimbing mereka untuk pergi lebih jauh dalam industri. Insya-Allah.
“Tidaklah sampai berguru dengan saya sebab rasanya mereka lebih dahsyat. Tetapi sekurang-kurangnya mereka ada ‘payung’ yang selamat untuk terus berteduh dalam industri,” katanya.
Setakat ini menurut Faizal, sudah ada seramai 21 orang artis bawah syarikat yang ditubuhkannya itu.
Qibla
Bercakap tentang Qibla, suami kepada Siti Raihanim Noran itu mendedahkan, album tersebut merupakan yang terakhir daripadanya sebelum membuat keputusan mengundurkan diri buat seketika.
“Sejak ‘Assalamualaikum’ diluncurkan pada tahun 2015, macam tiada waktu rehat langsung untuk saya.
“Anatomi, Rojak, Qibla dan semua projek saya yang lain sememangnya sangat memberi kepuasan. Alhamdulillah tetapi saya benar-benar sudah keletihan,” tuturnya.
Berita pengunduran seketika dirinya menerima pelbagai reaksi, ada yang mendoakannya supaya cepat kembali dan pada masa sama masih ada yang tidak percaya serta mahukan Faizal meneruskan karier sebagai seorang penyanyi.
Selain Aku Tanpa CintaMu 2021 yang dilancarkan pada 9 April lalu, lagu-lagu yang lain akan mula berada dalam semua pelantar muzik digital dan YouTube secara berperingkat.
Peminat boleh mula mendengarkan Syahadah pada 23 April, Borak Barang Baik: Versi Tadabbur (29 April) dan Ceria Aidilfitri pada 3 Mei depan secara digital.