LONDON – Pol Espargaro mengakui dia harus lebih bersabar dan tidak boleh terburu-buru untuk segera mendapatkan hasil yang terbaik ketika mengemudi jentera Honda RC213V dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Espargaro yang berpindah dari KTM ke Honda musim ini mempamerkan peningkatan dalam tiga perlumbaan MotoGP ketika ini, namun pencapaian terbaik hanya di Grand Prix (GP) Doha iaitu menamatkan saingan di tempat kelapan.
Di GP Portugal, Espargaro gagal menamatkan perlumbaan selepas berdepan masalah pada bahagian belakang jentera selain belum menemui kepantasan terbaik terutama ketika sesi kelayakan.
“Jenis jentera seperti ini dan juga KTM adalah mesin yang mana anda menghabiskan sebahagian besar waktu untuk memahami cara menekan brek, memasuki selekoh dengan lebih laju dan keluar dengan lebih baik.
“Ketika anda tidak tahu cara yang tepat untuk melakukannya, ia hanya akan menjadi masalah kerana ketika itu anda tidak akan rasa daya cengkaman pada jentera.
“Jadi, kini saya hanya perlu bersabar dan cari jalan terbaik untuk memahami karakter jentera ini. Jentera Honda mempunyai kelajuan, jadi saya perlu cari kombinasi tunggangan lebih baik,” kata Espargaro. – AGENSI