PETALING JAYA – Penyanyi, pengacara dan penyampai radio, Nana Mahazan berkongsi kisah anak sulungnya, Althea Raqeem Brian, 11, yang terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian belakang paha berhampiran punggung selepas digigit serangga sehingga menjadi bisul dan membengkak.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, 38, berkata dia tidak menyangka anaknya terpaksa menjalani pembedahan hanya disebabkan gigitan serangga.
“Sekitar dua minggu lalu Althea cakap dia kena gigit serangga (dipercayai nyamuk) dekat bahagian belakang paha selepas bermain dekat taman permainan berhampiran rumah. Ada bintat seperti gigitan nyamuk.
“Selepas beberapa hari dia mengadu sakit dan bengkak (kawasan gigitan) sehingga bertukar menjadi kebiruan. Saya hantar dia ke klinik dan doktor cakap ada bisul dan telah merebak ke sekeliling bahagian tersebut,” ujarnya.
Kongsi bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama (AF1) itu lagi, disebabkan faktor usia Althea yang masih kecil, doktor menyarankan supaya dia menjalani pembedahan di hospital kerana kurang menyakitkan.
“Althea mengalami kesakitan untuk berjalan dan duduk. Kesian sangat. Jadi selepas melakukan ujian calitan Covid-19 di hospital pada pukul 10.30 malam, Althea terus menjalani pembedahan pada malam itu juga pada pukul 11.30 malam, namun ditangguhkan sehingga pukul 1.30 pagi.
“Disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, pihak hospital tak bagi tukar penjaga. Kalau mak yang jaga, kena orang yang sama jaga sehingga dibenarkan keluar hospital,” ujarnya.
Dakwa Nana, selepas anaknya selesai menjalani pembedahan, Althea sudah tidak lagi berasa sakit dan perkara itu membuatkan penyanyi kelahiran Muar, Johor itu berasa lega.
“Tak sangka perkara kecil (digigit serangga) boleh membawa kepada pembedahan. Tapi tidak mengapa, syukur alhamdulillah semuanya selamat,” katanya.
Sekadar info, selain Althea, Nana juga mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu Aaqib selepas berkahwin dengan suaminya, Raqeem Brian Abdullah pada 6 Jun 2009. -K! ONLINE