NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) berdepan masalah bekalan boba iaitu sejenis makanan tambahan diperbuat daripada tepung ubi kayu yang biasanya diletak dalam minuman teh.
Menurut portal berita NPT baru-baru ini, kekurangan bekalan boba adalah antara masalah yang timbul ketika penularan Covid-19 di samping kehabisan tisu tandas, tepung penaik dan juga sos tomato paket.
Naib presiden Jualan dan Pemasaran Global bagi syarikat pembekal Boba Direct, Oliver Yoon berkata, kekurangan boba dijangka berlanjutan selama beberapa bulan kerana masalah logistik apabila terlalu banyak penghantaran dari Asia tetapi kapasiti pemprosesan tidak mencukupi untuk pasaran AS.
“Terdapat banyak kemasukan kontena yang dari luar negara, namun sayangnya, tiada tenaga kerja mencukupi untuk membantu mengeluarkan kontena ini dari kapal,” kata Yoon.
Kekurangan pekerja pelabuhan di pelabuhan-pelabuhan AS dan kekurangan pemandu menyebabkan longgokan stok di sepanjang pantai Timur dan Barat AS dan melewatkan penghantaran produk itu kepada peruncit.
“Apa yang saya tahu, kami semua memerlukan bantuan dan pekerja tambahan,'” katanya.
Kelewatan itu menimbulkan masalah besar kepada pemilik-pemilik kedai teh boba termasuk Abdurahman Sharif yang mengusahakan kedai Chi Tea di Chicago.
“Pada bulan lalu, setiap minggu, kami perlu memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah permintaan pelanggan yang mahukan boba dalam air teh mereka.
“Kami terpaksa menarik semula semua minuman yang mempunyai boba kerana bekalan tidak sampai dan terpaksa menggantikannya dengan menu baharu yang kurang mendapat sambutan,” jelas Abdurrahman. – Agensi