BITOLA, MACEDONIA UTARA – Seorang petani di Macedonia Utara terkejut apabila mendapati lembunya melahirkan anak berkepala dua, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Vasko Popovski mendapati anak lembu itu mempunyai empat mata, dua hidung, dua mulut dan satu otak manakala tengkoraknya turut bercantum.
Kebiasaannya, haiwan yang dilahirkan dengan kecacatan tersebut mempunyai jangka hayat yang pendek dan akan mati beberapa hari kemudian.
Namun, anak lembu ganjil tersebut mampu bertahan dan membesar dengan sejak ia dilahirkan pada 16 April lepas.
Dalam satu rakaman yang dibuat oleh Popovski, anak lembu berwarna hitam dan putih itu dilihat berdiri dan berjalan di dalam kandang.
Seorang pekerja memberinya minum susu menggunakan tiub, dan ia meminum susu tersebut tanpa sebarang masalah.
Menurut seorang doktor haiwan, Sasho Gjorgjievski, organ anak lembu itu berfungsi dengan baik.
“Bagaimanapun, kebanyakan haiwan yang lahir dengan kecacatan seperti ini jarang hidup lama. Apabila ia semakin membesar, keperluannya akan berubah dan persoalannya adalah, adakah ia mampu bertahan?
“Agak mengejutkan melihat anak lembu itu mula berkelakuan seperti anak lembu normal yang lain seperti minum susu dan mula mengenali makanan,” katanya.
Anak lembu tersebut hidup menggunakan satu otak dan kedua-dua mulutnya bersambung pada esofagus yang sama. – Agensi