PELUMBA harapan negara, Adam Norrodin mahu membawa semangat positif ke Valencia pada Mei depan selepas tampil cemerlang menaiki podium tempat ketiga pada pusingan pertama di Litar Estoril, Portugal malam kelmarin.
Pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal CEV Moto2 tersebut, Adam yang beraksi bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team tampil dengan tunggangan positif apabila memulakan saingan di petak keempat.
Adam yang ketinggalan pada awal perlumbaan berjaya merebut peluang menaiki podium selepas kesilapan rakan sepasukannya, Lucas Tulovic yang terjatuh ketika saingan berbaki enam pusingan untuk tamat sebelum menjulang podium pertamanya di Litar Estoril.
Pada perlumbaan kedua, Adam mengakui melakukan kesilapan pada awal saingan sekali gus terpaksa berpuas hati mengakhiri perlumbaan di kedudukan keempat.
“Syukur saya dapat capai sasaran menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga pada perlumbaan pertama ini. Terima kasih kepada pasukan dan kru pasukan yang bekerja keras sepanjang minggu ini.
“Pada perlumbaan kedua saya terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan di tempat keempat kerana melakukan kesilapan pada awal perlumbaan. Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan saya harap kami mampu mempamerkan aksi terbaik menjelang perlumbaan ketiga di Litar Ricardo Tormo, Valencia nanti,” katanya.
Juara perlumbaan tersebut dimenangi pasukan Boscoscuro Talent Team-Ciatti, Fermin Aldequer dan Alonso Lopez.
Sementara itu, pada saingan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia, Syarifuddin Azman turut mempamerkan aksi positif apabila berjaya mengutip dua mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Sharul Ezwan Sharil yang bersaing dalam kategori European Talent Cup (ETC) turut tampil positif apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.