HARARE, Zimbabwe – Satu tindakan drastik bakal diambil oleh kerajaan Zimbabwe bagi mengatasi krisis ekonomi apabila mengumumkan mahu menjual lesen menembak 500 gajah terancam di negara itu.
Menurut laporan akhbar New York Post kelmarin, Zimbabwe berdepan masalah kewangan terutama pendapatan dalam sektor pelancongan akibat penutupan sempadan berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
“Di sini, kami makan apa yang kami bunuh. Pada tahun-tahun biasa, kami mempunyai anggaran AS$25 juta (RM103 juta) untuk menampung ekonomi negara dan sebahagian besarnya datang daripada sukan perburuan.
“Namun seperti yang diketahui ramai, sektor pelancongan dan sukan sudah ‘mati’ sejak Covid-19 berleluasa,” jurucakap Taman Zimbabwe dan Pihak Berkuasa Pengurusan Hidupan Liar, Tinashe Farawo kepada stesen televisyen CNN.
Gajah hutan Afrika kini berada dalam senarai spesies yang terancam pupus dan gajah savana pula diklasifikasikan sebagai terancam.
Jurucakap Pusat Pemerintahan Sumber Asli, Simiso Mlevu bagaimanapun membantah cadangan kerajaan dan menganggap keputusan memburu gajah itu mengerikan.
“Kami sangat mengutuk perbuatan mengumpul ‘piala’ daripada aktiviti memburu haiwan liar kerana ia satu amalan yang mengganggu binatang tersebut dan mewujudkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
“Aktiviti perburuan dan menembak haiwan ini akan disaksikan oleh ahli keluarga binatang dan ia boleh mendorong ke arah serangan balas dendam ke atas penduduk kampung yang tinggal berdekatan kawasan savana,” kata Mlevu.
Tambah Mlevu, terdapat banyak alternatif lain yang lebih inovatif dan tidak melibatkan pemburuan kejam bagi meningkatkan penjanaan pendapatan daripada sektor safari atau pelancongan secara umumnya. – Agensi